Saturday, October 2, 2010

29 Mei yang dilupakan




Seorang sejarawan Austria, Fun Hamer berkata: “Kota Konstantinopel telah dikepung sebanyak 29 kali semenjak ia didirikan.” Orang Islam yang pertama mengepung kota berkenaan ialah Muawiyah bin Abu Sufian pada zaman khalifah Uthman bin Affan yakni pada tahun 654 Masihi bersamaan dengan 34 Hijriyyah. Manakala seorang sejarawan Perancis, Baron Karadfoo berkata bahawasanya pembukaan Kota Konstantinopel bukanlah berlaku secara kebetulan ataupun kerana kerajaan Byzantium berada dalam keadaan lemah, tetapi kerana Sultan Muhammad II telah menggunakan segala kekuatan ilmu yang ada pada zamannya.
Kejatuhan Kota Konstantinopel ketika itu menandakan kejatuhan kerajaan Rom Bizantium yang menguasainya selama ribuan tahun. Kekukuhan kota tersebut tidak dapat dinafikan kerana serangan serta kepungan yang dibuat sebelum-sebelum ini masih belum mampu untuk menjatuhkan kota tersebut, hingga menjangkau beberapa abad. Namun, kebergantungan yang hakiki kepada Allah SWT tidak sekali-kali pernah padam dan putus, sehinggalah 800 tahun selepas nabi SAW menuturkan hadith tentang pembukaan kota tersebut, ianya berjaya dibuka oleh Sultan Muhammad II.
Kebanyakan orang amat bersemangat lagi teruja meraikan hari ibu dan guru apabila bulan Mei menghampiri, namun ramai yang lupa bahawasanya pada bulan ini jugalah berlakunya peristiwa bersejarah yang amat penting bagi umat Islam dan sejarahnya, meskipun ramai yang terlupa. 29 haribulan pada bulan ini di tahun 1453 Masihi, Kota Konstantinopel akhirnya tunduk kepada Islam apabila ia berjaya ditawan selepas pengepungannya selama sembilan bulan. Tarikh tersebut jatuh pada 20 Jamadil Awal 857 Hijriyyah.
Kemenangan tersebut adalah satu bukti bahawasanya pergantungan kepada Allah yang sebenar-benarnya akan menjanjikan kemenangan yang hakiki, dan bahawasanya janji-Nya adalah benar. Ia juga menandakan keimanan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW meskipun lapan abad berlalu tanpa mereka pernah bertemu dengan baginda. Mereka mempercayai dan mengimani kata-kata nabi SAW sehingga membuatkan mereka tekad dan terus berazam untuk menunaikan janji tersebut. Kemenangan ini juga membenarkan Islam menghalang keangkuhan puak salibiyyah dan juga membantu umat Islam yang tertipu dan terseksa di Andalusia.
Antara taktik awal yang digunakan oleh Sultan Muhammad II sebelum melancarkan pengepungan ke atas Kota Kontantinopel itu ialah melakukan beberapa siri perdamaian dengan pihak musuh. Fasa pertama untuk membenarkan baginda mempelajari dan memperdalami segala taktik peperangan yang pernah digunakan serta mempersiapkan kelengkapannya, dengan itu baginda mengadakan perdamaian beberapa tahun dengan Kaisar Bizantium.
Fasa kedua perdamaian berlaku setelah baginda menghentikan penghantaran wang saraan kepada Amir Ourkhan yang mendapat perlindungan Kaisar di Konstantinopel. Baginda mengadakan perdamaian dengan Putera-Putera dan Raja Maghyar dan Bosnia serta Kerajaan Republik Venesia serta memberikan mereka beberapa hak (tidak disebut). Kemudian dengan Hunyade selama tiga tahun. Tempoh perdamaian ini adalah satu taktik siasah yang ampuh yang tidak membenarkan baginda dan kerajaan Islam diganggu perencanaannya. Ketika mana mereka bekerja, sempadan-sempadan negara menjadi selamat dari marabahaya. Tempoh ini digunakan baginda sultan untuk membina benteng di pinggir Selat Bosphorus yang berdepan dengan tembok binaan datuknya Bayazid dahulu.
Pekerjaan membina benteng ini turut disertai oleh baginda sultan, menjadikan dirinya sama sahaja dengan mereka yang bekerja. Maka perjuangan ini bukan perjuangan tenteranya sahaja, malahan perjuangannya juga. Perbuatan baginda itu seterusnya memaksa para ulama’ dan pasha turut sama bekerja. Situasi ini memberikan satu lonjakan dan motivasi kepada semua tentera dan pekerja yang bertungkus-lumus mendirikan tembok tersebut, bahawasanya mereka melihat kesamarataan dalam mencapai satu matlamat yang agung. Dalam masa tiga bulan, tembok tersebut siap sepenuhnya.
Sembilan bulan tempoh pengepungan merupakan detik-detik yang mencabar, bukan sahaja bagi ummat Islam tetapi juga kepada Kaisar Bizantium dan penduduk Kota Konstatinopel tersebut. Namun, kesabaran, keazaman, ketaqwaan, keimanan dan keyakinan umat Islam tidak sebegitu mudah luntur, apalagi bila sultan yang memerintah berada bersama mereka.
Artikel ini bukan ditulis untuk mengulang semula sejarah pembukaan kota tersebut, namun apa yang lebih penting ialah pengajaran yang kita bisa dapati daripada perjuangan baginda sultan tersebut. Maka tidak perlulah saya menulis lebih lanjut tentang proses penawanan tersebut.
Sikap yang ada pada Sultan Muhammad II ketika pembukaan kota tersebut, tidak terdapat pada mana-mana pemimpin lain pada zaman selepasnya, mahupun ketika ini. Baginda sultan terang-terang tidak membuka kota tersebut kerana ingin menawannya, ataupun merampas hasil dan kekayaannya, apalagi untuk meluaskan jajahannya. Tetapi kedatangan baginda ialah untuk menunaikan janji-janji nabi SAW bahawasanya kota tersebut akan dibuka, dan juga untuk membebaskan masyarakat daripada perhambaan manusia kepada perhambaan kepada Allah. Keadilan beliau bukan sahaja untuk orang Islam, malahan juga untuk semua. Apabila seorang tentera yang memenggal kepala Kaisar membawanya kepada Sultan Muhammad II, baginda mengarahkan tentera tadi dihukum mati kerana memotong kepala Kaisar yang telah mati daripada tubuhnya, bahawa tindakan tersebut ialah tindakan pengecut.
Bahkan, Sultan Muhammad II sendiri yang menanggung segala perbelanjaan dan kos perlantikan Patriarch apabila baginda melihat kekacauan dan persengketaan sesama kaum kristian di dalam kota tersebut. Baginda mewasiatkan kepada Patriarch Janadius supaya bersungguh-sungguh dalam mengerjakan agama mereka dan meninggalkan perselisihan dengan Kristian Katolik. Hak yang setara dengan para wazir (menteri) dalam Daulah Uthmaniyyah diberikan kepada Janadius, bahkan dia dijamin keselamatannya oleh Sultan. Begitulah Islam mengajar toleransi kepada agama dan kaum lain. Bahkan kaum kristian ketika itu sendiri terpana dengan akhlak baginda yang mulia kerana saudara segama mereka sendiri pernah datang untuk menjajah dan menindas mereka. Malahan, tindakan Sultan Muhammad inilah yang mengekalkan kewujudan Kristian Mazhab Ortodoks di dunia ini yang sebelumnya hampir pupus dan mati.
Sepanjang 30 tahun baginda sultan memerintah, baginda bukan sekadar memimpin sendiri tentera-tentera baginda dalam 25 peperangan, bahkan berjaya meluaskan Daulah Uthmaniyyah dari 600 kilometer persegi kepada 2.214 juta kilometer persegi. Apabila orang Islam membuka sesuatu kawasan, mereka bukan seperti mana-mana pemerintah yang zalim, mereka tidak merobohkan rumah ibadah agama lain, tidak merosakkan tanaman, tidak membunuh orang tua, kanak-kanak dan wanita, malahan mereka turut membangunkan semula kawasan tersebut, seperti di Konstantinopel sendiri.
Banyak Sekolah dan masjid didirikan. Malahan prasarana pentadbiran, ketenteraan, pendidikan, politik dan pembangunan turut dibangunkan oleh baginda sendiri. Kaum yahudi dan umat Islam yang dapat melarikan diri daripada Andalusia datang berhijrah ke kota tersebut dan mendapat perlindungan. Semua aspek dalam kehidupan yang menuntut kecemerlangan di dunia dan juga akhirat dititikberatkan oleh baginda sultan.
Baginda Sultan Muhammad II al-Fatih meninggalkan dunia pada tahu 1471 Masihi bersamaan dengan 886 Hijriyyah.
Semoga selepas pembacaan artikel ini, kita tidak lagi melupakan detik-detik kemuliaan dan kemenangan yang diturunkan Allah kepada umat Islam terdahulu pada tarikh ini. Bukan mengingat untuk meraikan, tetapi untuk memahami bahawasanya keyakinan dan keimanan kepada Allah yang hakiki dengan azam dan tekad yang tinggi, tidak akan dibiarkan sebegitu sahaja. Yakinlah bahawa bantuan-Nya hampir dan kemenangan kita hampir. Terus dan teruslah berusaha, memajukan diri, keluarga, masyarakat, ummat, deen, dan negara.
Oleh: Mohd Azmir bin Mohd Razli,

No comments:

Post a Comment