Saturday, October 2, 2010

Ayuh solat malam!




Mengapa kena bangun malam? Mengapa kena qiamullail dan bertahajud? Bukankah Allah jadikan siang untuk manusia bekerja dan bertebaran di atas muka bumi, malam pula Allah jadikan masa untuk berehat, bukankah lebih baik kalau tidur?
Rasulullah S.A.W jadikan solat itu sebagai kerehatan. Rasulullah S.A.W pernah mengajak Bilal, “Mari kita berehat dengan solat, wahai Bilal”. (HR at-Tabrani & Haitsami). Jadi sebenarnya solat malam juga merupakan sebuah kerehatan.
Jika dikaji dari sudut saintifik pula, otak kita mempunyai beberapa gelombang; alpha, beta, theta dan delta. Paras alpha merupakan paras seseorang dapat berhubung dengan minda bawah sedar dengan aktif. Aktiviti minda pada ketika ini dalam keadaan tenang, santai dan rehat. Frekuensi otak pada paras alpha pula berada dalam lingkugan 7 hingga 14 kitaran persaat. Singkat bukan? Tapi, paras alpha boleh dicapai dengan menurunkan secara sengaja frekuensi otak ke tahap yang lebih rendah. Rahsianya ialah dengan qiamullail. Itu hanya dari sudut saintifik. Jika dilihat dari sudut rohani dan maknawi lebih besar lagi impaknya.
Seperti yang kita tahu, Rasulullah S.A.W sering melazimi solat malam sehingga kedua-dua tapak kaki baginda pecah. Salahuddin Al-Ayubi pula meletakkan tentera yang tidak meninggalkan qiamullail di barisan paling hadapan untuk menggempur musuh. Sultan Muhammad Al-Fateh yang Rasulullah sebutkan sebagai sebaik-baik pemimpin, tidak pernah meninggalkan qiamullail.
Apakah kelebihannya? Mengapakah mereka melazimi qiamullail? Pastinya rahsia kekuatan dan kebangkitan ummah terkandung dalam qiamullail itu sendiri.
Allah juga menyebutkan tentang hambaNya yang rajin bersolat malam, maksudnya;
Orang-orang yang bertaqwa itu sedikit sekali tidurnya di waktu malam. Di waktu menjelang fajar pagi, mereka itu berdoa memohonkan pengampunan dan dari sebahagian hartanya dijadikan hak yang diberikan pada yang meminta dan yang kekurangan.” [Surah Az-Dzaariyaat: 17-19]
Firman Allah lagi:
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdo’a kepada Rabb-nya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” [As-Sajdah: 16-17
Solat malam membina ruh. kekuatan dan taqwa. Qiamullail mengajak kita meninggalkan kenikmatan tidur yang sementara untuk mendapatkan kenikmatan di syurga yang kekal selamanya. Bukan mudah untuk bangun malam sebenarnya.
Sedikit petua daripada Imam Al-Ghazali untuk mudah bangun malam;
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut. Jangan makan terlalu kenyang kerana akan meyukarkan kita untuk bangun.
2. Jangan tinggalkan tidur qailulah di siang hari.
3. Mengetahui dan menginsafi keutamaan solat malam dengan mentadabbur selalu Al-Qur’an dan hadith serta kisah-kisah salafussoleh berkenaan dengan bangun malam.
4. Meningkatkan rasa cinta yang sebenar-benarnya kepada Allah. Bersihkanlah diri dan hati daripada unsur-unsur syirik baik yang nyata atau yang tersembunyi, dan peliharalah ibadah sebelumnya, sesungguhnya seseorang yang berat beban dosanya dari amalan yang dilakukan sebelum tidurnya itu pasti memberatkannya untuk bangkit berkhalwah dengan Allah yang Maha Suci di malam hari.
Mari bersama kita tingkatkan prestasi di siang hari dengan mengerjakan solat di malam hari. Sentiasa menetapkan niat dan berazam untuk menghidupkan malam setiap hari.
Mudah-mudahan Ramadhan yang masih berbaki ini sentiasa dipenuhi dengan qiamullail. Dan juga kita dapat meneruskan ibadah yang agung ini selepas berlalunya Ramadhan sebagaimana kita menghidupkan malam-malam dengan penuh semangat di bulan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment