Saturday, October 2, 2010

Ikhwanul Muslimin lancar ‘Facebook Islamik’


Ikhwanul Muslimin telah berjaya melancarkan laman rangkaian sosial ala Facebook sendiri.


Menurut seorang ahli kanan gerakan Islam itu, tujuan laman itu adalah untuk menyebarkan kesedaran akan nilai-nilai Islam yang sederhana.
Versi Ikhwanul Muslimin yang dinamakan Ikhwanbook itu kelihatan serupa dengan Facebook, tetapi para pengguna mengatakannya lebih menghormati nilai-nilai Islam.
Laman itu memaparkan penggunaan foto yang lebih terkawal, kurang pencerobohan dalam kehidupan peribadi pengguna dan sikap yang berbeza terhadap homoseksualiti.
Pelancaran Ikhwanbook ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk meningkatkan kehadiran dan pengaruh Ikhwanul Muslimin di internet.
Peringkat percubaan
Menurut Ikhwanul Muslimin, mereka menggunakan internet kerana ia merupakan salah satu daripada beberapa saluran komunikasi yang masih terbuka untuk mereka di Mesir.
Gerakan ini masih diharamkan, menyebabkan mereka tidak boleh mempunyai saluran TV dan menerbitkan suratkhabar.
Ikhwanul Muslimin menegaskan bahawa ia tidak bertujuan untuk mengasingkan diri daripada dunia atau bersaing dengan Facebook.
Sebahagian umat Islam telah mengkritik Facebook kerana tidak mengambil tindakan ke atas laman-laman yang bersifat anti-Islam, di samping ketidakselesaan mereka terhadap sikap dan pendapat liberal yang berlegar dengan sewenang-wenangnya di dalam Facebook.
Disebabkan larangan yang dikenakan ke atas Ikhwanul Muslimin, sesetengah ahli menyuarakan kebimbangan bahawa pihak kerajaan akan dapat mengenalpasti mereka melalui keahlian di dalam Ikhwanbook.
Setakat ini laman tersebut hanya beroperasi di peringkat percubaan selama beberapa bulan, namun menurut pengendalinya, pelancaran penuh akan dibuat suatu hari nanti, di mana mereka menjangkakan jumlah ahli akan meningkat.
Sumber: BBC
Penterjemah:
Mohd Firdaus bin Sabturani
Ketua Pengarang
Media ISMA

No comments:

Post a Comment